Monday, August 9, 2010

Berkualitikah remaja pada hari ini?

Di zaman moden yang serba canggih ini, umat Islam pada hari ini menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan dalam meneruskan kehidupan ini.Untuk menjadikan sebuah kehidupan itu lebih bermakna setiap umat Islam perlu mempunyai dan mencari ilmu pengetahuan samada ilmu duniawi atau ukhrawi agar kehidupan yang dijalani tidak akan hanyut ditelan arus kemodenan. Walaupun dunia pada hari ini merupakan dunia yang serba moden dan canggih serta mempunyai kepakaran dan peralatan teknologi yang canggih tetapi manusia pada hari ini hanya maju dalam aspek pembangunan jasmani sahaja malah pembangunan rohani dan spiritual semakin mundur dan hancur dek ditelan arus kemodenan. Manusia pada hari ini hanya memetingkan material semata-mata dan mengabaikan kepentingan beragama. Semakin canggih dunia ini, semakin manusia jauh dari agama. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana apabila manusia itu makin maju, kaya, dan hidup dengan lebih senang sepatutnya mereka lebih bersyukur kepada Allah s.w.t yang Maha Pemurah kerana memberi nikmat kepada mereka. Umat Islam perlu sedar dan bangkit agar mengubah cara hidup yang salah kepada cara hidup Islam yang sebenar. Jadikanlah agama Islam sebagai cara hidup kita semua, InsyaAllah semuanya akan selamat dan tidak terpesong daripada matlamat hidup yang sebenar.

Jika dilihat pada hari ini, banyak masalah dan gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat kita terutamanya masyarakat Islam. Golongan yang sentiasa terjebak dalam gejala ini ialah para remaja. Remaja pada zaman hari ini semakin kurang kualitinya dan hanya tahu berseronok sahaja sehingga melupakan tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara. Setiap hari ada sahaja kes yang melibatkan remaja, remaja-remaja pada hari ini semakin liar dan banyak terlibat dengan gejala sosial, jadi siapakah yang patut dipersalahkan sebenarnya?Adakah remaja itu sendiri, keluarga, masyarakat dan kerajaan? Pada hari ini terlalu ramai remaja yang terlibat dengan perbuatan zina sehingga melahirkan ramai anak luar nikah dan yang lebih malang lagi apabila bayi-bayi yang dilahirkan tanpa bapa ni di buang di merata-rata tempat tanpa ada sedikit pun belas kasihan dan tidak berperikemanusiaan.Hampir setiap hari kes buang bayi dilaporkan di dada-dada akhbar, masalah ini semakin hari semakin membimbangkan dan keadaan bayi yang dijumpai dalam keadaan mengerikan dan sangat kasihan. Remaja pada hari ini tidak takut lagi untuk melakukan dosa dan sampai satu tahap mereka mengganggap melakukan zina adalah perkara biasa. Hal ini berlaku kerana pergaulan yang terlalu bebas antara lelaki dan perempuan, mereka bercampur gaul tanpa ada batasan. Mereka bukan sahaja melakukan satu dosa iaitu berzina tetapi mereka juga membunuh bayi kecil yang tidak berdosa.Tidak adakah sedikit sekelumit perasaan bersalah dalam diri mereka kerana melakukan perbuatan jahat itu?Remaja Islam pada hari ini sudah terpengaruh dengan budaya barat, akhirnya budaya barat sedikit demi sedikit telah menular ke dalam masyarakat Islam.

Keadaan ini berlaku kerana mereka tidak mengambil berat hal agama, pengetahuan agama dalam diri mereka sangat cetek sehingga mereka tidak tahu perbuatan yang dilakukan adalah salah. Ilmu agama perlu diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi oleh keluarga agar mereka membesar dalam keadaan baik, terdapat juga segelintir ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab mengajar ilmu agama kepada anak-anak sejak kecil dan menyebabkan mereka kekurangan ilmu agama. Sebuah institusi keluarga yang baik, insyaAllah akan melahirkan generasi yang baik. Gejala sosial ini dapat dibendung jika kerajaan melaksanakan undang-undang mengikut syariat Islam seperti yang telah termakub di dalam al-Quran agar manusia merasa takut dan dapat memberi pengajaran supaya tidak mengulanginya lagi. Masyarkat juga perlu lebih prihatin tentang masalah sosial yang melanda remaja dan mengambil berat dengan menyedarkan mereka agar tidak hanyut. Sedarilah wahai remaja-remaja Islam dan bangkitlah dari tidur yang lena kerana perjuangan kita masih panjang dan jauh. Berfikirlah baik dan buruk sesuatu perkara sebelum melakukannya. Jadilah anak muda yang hebat serta mampu mempertahankan agama dan negara. Ingatlah wahai remaja, sesungguhnya remaja pada hari ini adalah pewaris pemimpin pada masa hadapan. Hargailah zaman remajamu dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan sayangilah diri anda, keluarga, masyarakat, agama, dan negara.

No comments:

Post a Comment