Monday, August 16, 2010

Katakan tidak kepada nafsu



Sebelum menyambut 1 Syawal atau merayakan Aidilfitri umat Islam wajib berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Puasa merupakan rukun Islam yang ketiga dan ia wajib dilaksanakan oleh setiap orang Islam yang mukallaf pada setiap bulan Ramadhan. Puasa bererti menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari. Orang yang berpuasa dikehendaki mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermanfaat dan maksiat. Dengan berpuasa, kita mengabdikan hawa nafsu dan segala keinginan kepada Allah dengan menahan nafsu makan dan minum serta menjauhi larangan Allah. Secara langsung ia dapat melahirkan keinsafan serta meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia dan bulan untuk kita mengerjakan ibadat serta mengelakkan driri daripada melakukan perkara yang dilarang Allah seperti melakukan pembaziran. Pembaziran adalah dilarang pada bila-bila masa dalam Islam terutamanya di bulan Ramadhan kerana amalan membazir itu merupakan amalan syaitan dan ianya perlu dijauhi oleh setiap umat Islam. Larangan mengenai pembaziran telah dijelaskan oleh Allah S.W.T di dalam surah al-Isra’ ayat 26 dan 27 yang bermaksud:

“Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada TuhanNya”.

Jika dilihat dan diperhatikan, setiap bulan Ramadhan ramai dalam kalangan kita yang suka membazir dalam penyediaan juadah untuk berbuka puasa dan setiap kali Ramadhan banyak bazar-bazar dan gerai-gerai dibuka bagi menjual makanan-makana untuk berbuka puasa dan ianya kelihatan enak dan menarik minat pembeli. Pembeli merasakan seolah-olah hendak membeli semua makanan yang dijual dan merasa dapat menghabiskan semua makanan tersebut.Disebabkan tidak dapat mengawal nafsu makan dan perasaan tamak, ramai pembeli yang membeli dengan kuantiti yang banyak dan akhirnya apabila makanan itu tidak dapat dihabiskan maka ianya dibuang. Penyediaan juadah yang beraneka jenis dan citarasa dalam kuantiti yang banyak dan melebihi had ini sudah tentu membawa kepada pembaziran dan ia sepatutnya tidak berlaku dan harus dielakkan oleh kita semua. Dalam Islam kita di ajar untuk bersederhana dan tidak melampau-lampau di dalam melakukan sesuatu perkara.

Selain penyediaan juadah berbuka puasa, penyediaan untuk menyambut syawal juga perlu dielakkan daripada pembaziran. Kebiasaanya ramai di kalangan kita yang membeli barangan-barangan baru seperti langsir dan perabot dan menggantikannya dengan yang lama sedangkan barangan tersebut masih boleh digunakan lagi dan kadang kala ianya adalah untuk menunjuk-nunjuk dan berharap agar orang ramai memujinya. Walaupun perbelanjaan untuk berbuka dan menyambul raya diperlukan tetapi ia biarlah dalam keadaan sederhana dan tidak membazir serta memadailah dengan kemampuan diri yang sebenar. Oleh yang demikian, elakkanlah diri daripada melakukan pembaziran agar ibadah puasa yang dilaksanakan mendapat keberkatan dan diterima oleh Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment