Monday, August 23, 2010

Dosa di Hari Raya


Hari Raya Aidilfitri disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia tidak kira bangsa sama ada Melayu, India-Muslim dan lain-lain bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan di mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam selain daripada Hari Raya Korban. Sebenarnya ramai di kalangan kita begitu tidak sabar untuk menunggu Ramadhan berakhir dan menyambut Hari Raya Puasa. Mungkin terdapat juga segelintir daripada masyarakat Islam yang tidak begitu bersungguh-sungguh menghayati bulan Ramadhan dan memanfaatkannya dengan melakukan kebajikan serta mengharapkan keampunan daripada Allah s.w.t tetapi apabila menyambut Hari Raya Aidilfitri mereka adalah orang yang paling bersungguh-sungguh dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya. Persiapan yang dibuat begitu sempurna sekali sehingga tidak ada cacat celanya. Malah sebelum Ramadhan menjelang tiba, persiapan hari raya sudah terlebih dahulu diatur. Walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak seberapa persiapan pakaian untuk keluarga dan anak-anak sudah difikirkan dan sejumlah wang juga diperuntukkan untuk tujuan tersebut. Jika persiapan dibuat di saat akhir, berbagai kesulitan akan timbul dan harga pakaian sudah melambung. Tabiat umat Islam ketika menghadapi hari raya ini sudah difahami oleh golongan peniaga. Maka tidak hairanlah kenapa promosi jualan dan iklan besar-besaran untuk perayaan Aidil Fitri diadakan lebih awal lagi iaitu sebelum menjelang Ramadhan. Mereka akan meraih keuntungan yang besar dan hasil yang lumayan dari sikap dan tabiat kaum muslimin yang aneh setiap kali hendak menyambut hari raya pada setiap tahun.

Jika dilihat keadaan masyarakat Islam pada hari ini seolah-olah mereka menghadapi kekeliruan dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana hari ibadah sudah bertukar menjadi tradisi dan hampir menyamai tradisi kaum lain yang menyambut hari raya mereka. Pada kebiasaannya, penganut agama lain menyambut hari raya mereka dengan pelbagai acara hiburan dan majlis tari menari. Perkara ini juga telah berlaku dalam masyarakat Islam, malah acara hiburan seperti nyanyian dan tari menari menjadi satu kewajipan setiap kali menyambut hari raya. Situasi atau keadaan ini boleh dilihat ketika majlis rumah terbuka atau di kaca televisyen yang menayangkan pelbagai program-program hiburan sempena sambutan hari raya. Jadi adakah menyambut hari raya dalam keadaan begitu boleh dianggap mengerjakan ibadah atau pun mendapat dosa? Dalam merayakan hari raya juga terdapat segelintir daripada kalangan masyarakat Islam yang tidak menjaga batas-batas pergaulan mereka semasa bergaul antara lelaki dan perempuan, mereka bersalaman antara satu sama lain dan tidak mengambil kira bahawa seseorang itu muhrim mereka atau tidak. Perbuatan bersalam itu merupakan satu perbuatan yang baik tetapi apabila perbuatan itu tidak menepati syariat Islam ia akan menjadi salah dan haram di sisi Islam dan secara tidak langsung akan mendapat dosa.

Selain itu juga, di hari raya inilah ramai dalam kalangan kita yang suka berhias dengan hiasan yang melampau dan menggayakan pelbagai jenis pakaian yang tidak menutup aurat dan seksi semata-mata mahu kelihatan cantik di hari raya dan mahu mengikut perkembangan fesyen terkini. Kadang kala ia juga boleh menimbulkan perasaan riak dan takabur di hati si pemakai kerana ramai yang memujinya cantik dan sebagainya. Tidak salah untuk berpakaian cantik dan baru di hari raya tetapi ia hendaklah menutup aurat dan tidak melampau-lampau serta sesuai dengan syariat Islam. Sempena menyambut hari raya ini juga maka tidak hairanlah kepada kita semua apabila melihat barangan-barangan di dalam rumah seperti perabot, langsir, meja. kerusi dan lain-lain lagi digantikan dan ditukarkan dengan yang baru semata-mata mahu meraikan hari raya. Jika ia bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain dan timbulnya riak di hati maka ia menjadi satu dosa dan ia juga boleh dianggap membazir jika sesuatu barang itu masih baru dan boleh digunakan lagi, jadi hendaklah kita sebagai umat Islam berserderhana dalam membuat persiapan menyambut Syawal dan sentiasa bersederhana dalam setiap keadaan. Oleh yang demikian, masyarakat Islam perlu prihatin dan menitikberatkan akan hal ini dan berusaha sedaya upaya untuk menghindarkan diri daripada terjebak dengan perkara-perkara sebegini agar dapat menyambut hari raya dengan penuh keberkatan dan diredhai oleh Allah s.w.t.

1 comment:

  1. Very true Sister

    Now a days Muslim community missing their identification all over the world, this is because they mix or accept other religious rites.
    Yet Islam will remain uncorrupted which is based on The Quran ( The word of Allah ) & Hadidth (The life style of Prophet Mohammamed SAW)

    ReplyDelete